MAIS SALUR BANTUAN KEPADA 100 KELUARGA TERPUTUS MAKANAN

KLANG: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini menyampaikan 100 set bekalan makanan asas kepada keluarga yang terputus bekalan makanan di sekitar Klang, Selangor.⁣

Daripada jumlah itu, 52 keluarga penerima dari Bukit Naga dan 48 keluarga di Kampung Jawa, Klang dibantu MAIS dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) dan Adab Youth Garage (AYG).⁣

Bantuan makanan asas meliputi beras, minyak, gula, susu pekat, tepung dan bihun itu diagihkan kepada keluarga terjejas akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.⁣

Bantuan makanan asas bernilai RM5,000 itu disampaikan anggota MAIS, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.⁣

“Alhamdullillah, terima kasih kepada penyumbang Tabung Prihatin Covid-19 MAIS,” kata Mohd Zawawi dalam kenyataan MAIS hari ini.

Setakat ini, MAIS mengagihkan RM122,915 bantuan dari Tabung Prihatin Covid-19 MAIS kepada kelompok memerlukan, termasuk petugas barisan hadapan.

Individu yang ingin menyumbang boleh melayari laman Facebook MAIS. — AlHijrah Online

Leave a Reply