MAIWP SEDIA RM13 JUTA BANTU PENDIDIKAN ASNAF CEMERLANG PERINGKAT DIPLOMA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Senator Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen Majlis Menandatangani Memoradum Persefahaman (MoU) antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). — Bernama

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM13 juta bagi membiayai pendidikan pelajar asnaf cemerlang di peringkat diploma melalui Skim Bantuan Penyelesaian Pembiayaan Pendidikan yang dilancarkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata menerusi skim itu, MAIWP menawarkan bantuan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf menetap di tiga Wilayah Persekutuan dan membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di peringkat diploma serta mendapat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.50 ke atas.

“Skim ini adalah kerjasama strategik antara MAIWP dan PTPTN. Bantuan ini akan disalurkan kepada pelajar-pelajar asnaf yang cemerlang di peringkat diploma dalam bidang perubatan dan bukan perubatan bagi menyelesaikan pinjaman PTPTN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Skim Bantuan Penyelesaian Pendidikan dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAIWP dan PTPTN di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata inisiatif tersebut diharap dapat mendorong pelajar asnaf fakir, miskin dan mualaf untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapat kecemerlangan dalam pengajian.

Sementara itu, katanya MAIWP menyediakan 30 skim bantuan zakat meliputi aspek kebajikan, pendidikan, perubatan, tempat tinggal, keusahawanan dan pembangunan ummah kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun tahun ini, sebanyak RM420 juta dana zakat diagihkan kepada penerima yang layak menerima bantuan.

“Zakat ini diagihkan kepada golongan asnaf dengan penuh perancangan rapi dan pelbagai inisiatif. Kesemua agihan ini menjadi penyumbang kepada kekuatan dan keutuhan dana zakat yang dimiliki,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Naib Canselor UCMI Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman.

Ditemui selepas majlis tersebut, Mohd Na’im berkata beliau sentiasa mengajak semua agensi di bawah kementeriannya untuk mencari dan membuka ruang kepada syarikat korporat dan badan bukan kerajaan untuk menjalin kolaborasi strategik dalam usaha meringankan beban rakyat dan membantu meningkatkan sosioekonomi termasuk melalui pendidikan.

“Saya bersama Kerajaan Perpaduan percaya tanggungjawab membantu masyarakat adalah tanggungjawab bersama dan penglibatan pelbagai pihak akan memberi impak lebih besar kepada masyarakat,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply