MAKAN PLASTIK ANTARA PUNCA KEMATIAN LIMA BANGKAI PENYU

KUALA TERENGGANU: Dua penyu agar ditemui mati terdampar di Pantai Batu Burok dan Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus , hari ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata kedua-dua haiwan yang dianggarkan berumur 20 tahun itu bersaiz panjang kira-kira 1.3 meter dan lebar sekitar 0.65 meter.

Katanya, ciri-ciri fizikal kedua-dua penyu yang dijumpai hari ini adalah lebih kurang sama dengan berat kedua-duanya kira-kira 40 hingga 50 kilogram.

Penemuan dua bangkai penyu itu menjadikan lima kes kematian spesies tersebut direkodkan dalam tempoh sebulan.

Ia termasuk penemuan di pantai penunjuk dekat Kijal, Kemaman pada 3 Januari dan Pelabuhan Chendering pada Rabu.

“Sisa-sisa buangan ini terutamanya plastik mengambil masa yang begitu lama untuk dimusnahkan sehingga sampai bertahun jadi apabila berada di laut dia terampai yang menjadi natijahnya antaranya penyu.

“Jadi saya menggesa masyarakat kita untuk lebih berdisiplin jaga kebersihan janganlah sesekali membuang sampah terutamanya plastik ke dalam sungai ataupun ke dalam laut” katanya.

Tambah Ruzaidi, kedua-dua bangkai tersebut ditanam di kawasan berhampiran ia dijumpai dan di percayai kedua-dua penyu yang ditemui hari ini mati akibat lemas ekoran tersangkut pada pukat tunda.

Semalam pihaknya turut menerima kes seekor anak penyu agar yang ditemukan mati dipercayai akibat termakan plastik di Pantai Pulau Kerengga di Marang.

Ruzaidi menyeru kepada semua pengusaha pukat tunda supaya memasang peranti penyisih penyu pada peralatan mereka seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan sebagai syarat untuk mereka mengendalikan pukat tunda.

Sepanjang tahun lepas, 51 kes kematian penyu dicatatkan oleh pihaknya dan majoriti melibatkan spesis penyu agar.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya segera menghubungi hotline ‘fishcom’ di talian 03-88885019 atau 03-88704058 yang beroperasi 24 jam, sekiranya menemukan penyu hidup atau mati terdampar di pantai. –AlHijrah Online

Leave a Reply