MALAYSIA KUTUK SERANGAN DRON DI LOJI MINYAK ARAB SAUDI

Serangan pemberontak Yaman di loji minyak Aramco di Abqaiq, Arab Saudi. Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam keras serangan dron ke atas loji minyak Aramco di Arab Saudi yang dikhuatiri menjejaskan kestabilan dan keselamatan serantau.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya maklum akan insiden itu dan sentiasa memantau perkembangan di negara pengeluar minyak terbabit.

“Pertama, kita tidak suka peperangan tetapi apabila serangan serangan berlaku ke atas orang awam berlaku kepada aset, ekonomi sesebuah negara. Memang itu tindakan yang tidak baik.

“Kita sedang melihat perkembangan ini. Kita memang risau bila perkara sedemikian berlaku kerana ia boleh menimbulkan (krisis) di samping soal keamanan ia boleh menimbulkan kesan terhadap harga minyak dunia,” katanya dipetik Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pertukaran Program Bola Keranjang Malaysia-China di Wisma MABA Kuala Lumpur yang turut dihadiri Duta China ke Malaysia, Bai Tian.

Arab Saudi dilaporkan menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco yang diserang pemberontak Houthi dari Yaman.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kerajaan akan memberi subsidi jika harga minyak naik susulan insiden yang berlaku di negara pengeluar minyak itu.

Serangan pemberontak Yaman itu menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais membabitkan gangguan kepada 50 peratus pengeluaran minyak secara keseluruhannya.

Serangan dron itu dilaporkan mengakibatkan penggantungan pengeluaran sebanyak 5.7 juta tong minyak mentah sehari. – AlHijrah Online

Leave a Reply