Mampukah orang Melayu melangkaui idea-idea populis? 

Gambar hiasan

Orang Melayu di Malaysia berada pada satu kedudukan yang unik dan istimewa. Dengan nilai-nilai Islam yang digabungkan dengan ketinggian nilai dan tatasusila bangsa Melayu, mereka mampu pergi jauh. Bukan sahaja di dalam memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam kontemporari yang maju dan disegani, malah bangsa Melayu juga mampu memberi sumbangan besar di dalam membina ketamadunan dunia moden akhir zaman yang penuh cabaran ini.

Setelah lebih 60 tahun merdeka, Malaysia telah melalui perkembangan yang pesat di dalam segenap aspek. Sebagai kumpulan etnik majoriti di negara ini, sumbangan bangsa Melayu sangat besar, sama ada dari sudut sosial, ekonomi, politik dan lain-lain.

Pembangunan dan arus kemodenan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan rakyat di negara ini dengan ketara. Ini adalah satu petunjuk yang penting kerana kemiskinan dan kesempitan hidup boleh menyebabkan manusia hilang maruah diri dan boleh dimanipulasi oleh golongan yang mempunyai kuasa.

Di dalam Islam pula, kefakiran dibimbangi boleh membawa kepada kekufuran.

Penurunan kadar kemiskinan ini tentunya berkait rapat dengan taraf pendidikan itu sendiri. Bangsa Melayu di Malaysia bertuah kerana mempunyai sistem pendidikan yang baik yang telah membawa ramai anak Melayu keluar dari jerat kemiskinan.

Anak-anak Melayu kini ramai yang berjaya dan menjadi golongan profesional dan juga memimpin syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa. Kejayaan ini telah meletakkan bangsa Melayu pada kedudukan yang baik dan selesa dengan ramai orang-orang Melayu yang berada di dalam golongan pertengahan di negara ini.

Namun sejak akhir-akhir ini, kita melihat idea-idea populis semakin merebak di kalangan orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia secara umumnya. Idea-idea populis secara umumnya menyentuh isu-isu yang sangat dekat di hati rakyat. Dengan itu, idea-idea populis tersebut dengan mudah akan mendapat tempat di kalangan masyarakat.

Tidak dinafikan idea-idea populis seperti penurunan harga barang dan petrol, penghapusan tol dan lain-lain ada baiknya kerana ia mampu mengurangkan beban hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah. Malah itulah yang diharapkan oleh rakyat terhadap kerajaan yang dipilih, iaitu meningkatkan taraf hidup mereka.

Apa yang membimbangkan adalah apabila idea-idea populis ini dikaitkan dengan sentimen kaum dan agama untuk menimbulkan persepsi bahawa bangsa Melayu sebagai kumpulan majoriti di negara ini dipinggirkan oleh pihak pemerintah. 

Lebih malang jika ia membawa kepada kekeruhan hubungan di antara kaum yang telah lama terjalin secara harmoni. Isu ini jika tidak ditangani dengan baik, tentunya akan membawa kesan buruk kepada negara, sama ada dari sudut sosial, ekonomi dan politik.

Mungkin apa yang diperlukan ialah penyaluran maklumat yang tepat, jelas dan pantas oleh pihak berkuasa berkenaan dengan isu-isu yang dekat di hati rakyat. Dalam hal ini ketelusan dan kejujuran adalah sangat penting untuk melahirkan hasil yang terbaik.

Dengan kemajuan teknologi maklumat dan telekomunikasi, pelbagai medium boleh dimanfaatkan untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat. Perbezaan fahaman politik tidak sepatutnya menjadi penghalang di dalam memastikan maklumat sebenar sampai kepada rakyat atau pun kumpulan sasaran.

Pemimpin-pemimpin Melayu sama ada dari parti-parti politik,  pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan tokoh-tokoh agama dan masyarakat mestilah berganding bahu dan menjadi contoh kepada kumpulan dan pengikut masing-masing. Budaya positif yang didasarkan dengan ketinggian nilai-nilai Islam dan Melayu mestilah dijadikan amalan. Apabila pemimpin-pemimpin dapat menjadi contoh dengan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain dan berbudi bahasa dengan kawan mahupun lawan, maka budaya yang sihat dapat diwujudkan.

Selagi dunia belum kiamat, tentunya perbezaan dan khilaf akan berlaku. Kepelbagaian pandangan hendaklah ditangani dengan  berlapang dada. Dalam hal ini, pemimpin-pemimpin Melayu mestilah berjiwa besar. Pesanan almarhum Rashid Ridha, seorang ulama’ Mesir bolehlah dijadikan panduan iaitu:

“Bekerjasama di dalam perkara-perkara yang disepakati dan berlapang dada di dalam perkara-perkara yang diperselisihkan”.

Apa yang penting adalah matlamat agung untuk meningkatkan tahap kehidupan rakyat agar mereka dapat mencapai tujuan hidup mereka dan menjadi warganegara yang baik mestilah diberi keutamaan.

Sehubungan dengan itu, mana-mana pemimpin yang tidak dapat mengetepikan kepentingan politik demi kepentingan rakyat dan negara mestilah ditolak. Pemimpin yang jujur, bersih, cekap dan amanah mestilah dimartabat dan dijadikan contoh kepada masyarakat.

Kepelbagaian di dalam masyarakat majmuk pula mestilah dilihat sebagai satu kekuatan yang perlu digembleng demi kepentingan negara. Masing-masing tidak kira bangsa mahu pun agama tentunya mempunyai kekuatan dan kelemahan yang perlu dilihat sebagai saling melengkapi. Sumbangan setiap kaum mestilah diiktiraf demi melahirkan masyarakat yang inklusif.

Budaya toleransi pula hendaklah sentiasa dihidupkan. Sebarang permasalahan dirungkai melalui perbincangan dan muafakat. Program-program untuk meningkatkan integrasi antara kaum boleh dilaksanakan mengikut keperluan setempat.

Islam sebagai agama yang memberi rahmah kepada seluruh umat manusia mestilah ditonjolkan oleh orang Melayu melalui keperibadian dan akhlak yang mulia. Amalan buruk seperti melabel apatah lagi menghina, mencaci dan mengeluarkan kata kesat kepada golongan yang tidak sehaluan mestilah ditolak. Bukan sahaja ia membawa kepada dosa, malah ia juga adalah bukan dari budaya Melayu itu sendiri.

Kerajaan pula mestilah mengambil pendekatan mendidik secara berterusan supaya rakyat dapat hidup dengan harmoni dan sejahtera. Keadilan yang didambakan oleh semua rakyat mestilah diusahakan agar dapat dicapai. Bukan sahaja kerajaan mesti berlaku adil, tetapi kerajaan juga mestilah dilihat rakyat sebagai berlaku adil.  Hal ini adalah sangat penting demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Rakyat pula mestilah tidak mudah terpedaya dengan omongan dan retorik pemimpin mahupun maklumat yang membanjiri media sosial. Di dalam era ledakan maklumat dewasa ini, ambillah sikap berhati-hati terhadap setiap maklumat yang diterima.

Keupayaan untuk menapis maklumat dan memeriksa ketepatan fakta adalah satu kemahiran yang sangat penting supaya kita tidak terperangkap dengan maklumat yang tidak tepat atau palsu. Lebih teruk lagi jika ia membawa kepada terbinanya persepsi yang salah atau tidak tepat.

Di dalam menangani idea-idea populis, rakyat juga mestilah bersifat rasional dan praktikal. Ini bermaksud rakyat hendaklah sentiasa berpijak di bumi nyata dan bersedia mendengar pandangan dari pelbagai sudut secara objektif dan kritikal tanpa dipengaruhi sentimen sempit perkauman dan agama.

Kesimpulannya, telah banyak kejayaan yang ditempa oleh bangsa Melayu khususnya dan negara Malaysia secara umumnya. Kejayaan-kejayaan tersebut telah dicapai melalui usaha gigih, permuafakatan yang berterusan dan dasar-dasar yang telah dilaksanakan.

Namun untuk menghadapi dunia yang penuh dengan ketidaktentuan dan menangani cabaran-cabaran semasa, orang-orang Melayu mestilah memahami realiti kehidupan moden yang menuntut mereka untuk lebih berdaya saing dan melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran.

Untuk melangkah ke hadapan sebagai satu bangsa yang berjaya, bangsa Melayu mestilah tidak terperangkap dengan idea-idea populis semata-mata. Untungnya, melalui nilai-nilai mulia dari ketinggian ketamadunan Islam dan budaya Melayu, orang Melayu sememangnya mampu pergi jauh!

– Mohammad Abdul Hamid

Penulis ialah seorang jurutera bertauliah, YDP Ikram Bandar Tun Razak dan sedang mengikuti program Sarjana Polisi Awam di Universiti Malaya.

Leave a Reply