MANSUH BIPK KERANA TIDAK TEPATI KRITERIA TERTENTU PEMBERIAN ELAUN

Last Updated on

4

PUTRAJAYA: Pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi 33 skim perkhidmatan bukan kerana skim perkhidmatan terbabit tidak penting tetapi ia tidak lagi menepati kriteria tertentu pemberian elaun tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Suhaime Mahbar menjelaskan, BIPK diwujudkan pada 1992 berikutan kekurangan bekalan tenaga kerja dalam sektor tertentu ketika itu yang bertujuan untuk menarik graduan berkhidmat dengan kerajaan.

“Kritikal bukan bermaksud tugas itu sukar, tetapi kepakaran itu sukar untuk diperolehi.

“Contohnya, dahulu tidak ramai graduan perubatan, jadi elaun ini diwujudkan untuk menarik mereka berkhidmat dengan kerajaan. Tetapi ketika ini permohonan untuk menjadi pegawai perubatan berjumlah 24,756, melebihi keperluan perjawatan iaitu 15,268,” katanya kepada Bernama.

Selain bidang perubatan, Suhaime berkata skim perkhidmatan seperti arkitek, pegawai laut, jurutera dan juruterbang juga tidak lagi menepati kriteria pemberian asal BIPK kerana bilangan yang memohon jauh lebih tinggi daripada keperluan semasa jawatan.

Suhaime menjelaskan pemansuhan sesuatu elaun bukanlah satu perkara baharu, sebaliknya kajian setiap lima tahun dilakukan bagi menentukan ia mengikuti keperluan semasa.

Menurutnya, sebanyak 27 jenis elaun telah dimansuh, digabung atau dijenamakan semula sejak 1992 kerana tidak mengikuti prinsip dan kriteria pemberian.

Antaranya Elaun Berkelakuan Baik, Elaun Bisa Ular, Elaun Khas Jurutrengkas, Elaun Keretapi Mel, Elaun Bukit dan Elaun Galakan Akauntan, katanya.

“Kerajaan sentiasa akan menimbangkan permohonan dan membuat kajian semakan elaun keseluruhan perkhidmatan awam berdasarkan prinsip-prinsip tertentu,” katanya.

Beliau memberikan contoh pada era Revolusi Industri 4.0, mungkin wujud skim perkhidmatan penganalisis data raya dan mungkin perlu diwujudkan semula BIPK bagi menarik pakar dalam bidang itu berkhidmat dengan kerajaan.

Mengulas mengenai pandangan bahawa pegawai perubatan sepatutnya terus menerima elaun itu atas faktor tugas yang sukar, Suhaime berkata ramai yang tidak mengetahui sebenarnya mereka layak untuk menerima 22 lagi elaun dan kemudahan lain berdasarkan tugasan yang dijalankan.

Antaranya Elaun Pentadbiran Hospital, Elaun Tugas Atas Panggilan Bagi Pegawai Perubatan, Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan, Elaun Waktu Bekerja Fleksi Bagi Pegawai Perubatan Siswazah serta Bayaran Insentif Pakar, kata beliau.

“Apa yang perlu difahami ialah elaun-elaun yang diberikan tidak bersifat kekal dan boleh ditarik balik mengikut keadaan semasa, tetapi ramai yang menganggap ia sebagai hak mutlak mereka,” kata Suhaime. –BERNAMA

Leave a Reply