MAPIM GUNA QR CODE HANTAR BANTUAN LEBIH TELUS, EFEKTIF

SEPANG: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggunakan kaedah Sistem Data Pengurusan Asnaf (ADMS) bagi memastikan bantuan kepada kelompok terjejas akibat Covid-19 tidak tersalah sasar.

Melalui sistem itu, pengagihan bantuan dilaksana berdasarkan rekod maklumat diterima MAPIM, sekali gus menjadikan proses agihan bantuan di seluruh negara lebih berkesan dan telus.

Menggunakan aplikasi di telefon mudah alih, kesemua rekod itu disimpan secara atas talian, termasuk foto penerima dan maklumat lokasi serta masa penyerahan selepas bantuan diagihkan dan penerima hanya perlu mengimbas kod bar di kotak bantuan.

Mengulas mengenai ADMS, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata sistem dibangunkan badan bukan kerajaan (NGO) itu akan memastikan semua bantuan diterima kelompok yang benar-benar memerlukan.

“Nampaknya sistem yang dibangunkan MAPIM ini ada keberkesanan, mempunyai tuju dan dilihat efektif dalam mengagihkan bantuan di seluruh Malaysia dengan adanya sistem teknologi terkini dan penggunaan kod bar.

“Secara peribadi, saya amat tertarik dengan sistem ini kerana ciri-cirinya yang paling utama adalah tidak ada ketirisan penerima dan cara penghantaran yang sangat efektif,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan ke gudang Ummah Central Warehouse MAPIM di Sepang petang tadi.

Mendepani penularan wabak COVID-19, MAPIM menggerakkan Ummah Double-decker Mobile Clinic, yang juga sebuah bas dua tingkat dengan prasarana lima bilik rawatan dan kemudahan perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata, kemudahan kesihatan itu bertujuan membantu pesakit yang tidak dijangkiti Covid-19 di kawasan desa tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Sebelum PKP lagi, MAPIM memang melakukan perkhidmatan Mobile Clinic, namun hanya menggunakan ambulans kami yang hanya disasarkan kepada pelarian dan penduduk kampung.

“Jadi idea Ummah Double-decker Mobile Clinic ini merupakan satu wajah baharu daripada ambulans lama kepada sebuah klnik yang ada lima bilik rawatan dalam satu bas dua tingkat,” kata Ahmad Sani.

Perkhidmatan klinik bas dua tingkat itu dijangka bermula awal Ramadan depan dari Perlis hingga ke Johor Bahru. — AlHijrah Online/ Nur Hanisa Hasanuddin

Leave a Reply