TV ALHIJRAH SAJIKAN 12 PROGRAM BAHARU RAMADAN MENYUCI JIWA

KUALA LUMPUR: AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) akan menyajikan 12 program baharu istimewa di bulan Ramadan untuk penonton setianya, khususnya umat Islam yang bakal menjalani ibadah puasa.

Dua belas rancangan baharu membabitkan 92 jam masa siaran di platform televisyen dan digital TV AlHijrah itu disiarkan sempena Kempen Ramadan Menyuci Jiwa.

Program itu adalah QuranTime, Ihya’ Ramadan, Tazkirah Jumaat, Tausiyah Ustazah Asma, Munajat, Kembara Sufi Jejak Anbiya, Assalamualaikum Istimewa Ramadan, Ngaji On The Go: Ustaz & Artis Lelaki, Ngaji On The Go: Ustazah & Qariah, Tadarus 30 Juzuk, E-Kaunter Netizen Bersama Syamsul Debat.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, menjalani ibadah puasa dalam kekangan ujian wabak COVID-19 bukanlah alasan untuk umat Islam bermurung durja, lemah dan kalah dalam ujian diturunkan Allah swt.

Katanya, TV AlHijrah menggunapakai tema Ramadan Menyuci Jiwa untuk menyeru umat Islam menghayati dan menjalani ibadah puasa secara bijaksana dengan sudut pandang berbeza sekalipun diuji dengan COVID-19.

“Tema ini membawa maksud yang jelas iaitu mengajak penonton membudayakan penghayatan ibadat berpuasa mengikut sunnah baginda Rasulullah SAW seperti bersederhana dalam setiap perbuatan, mengelakkan pembaziran, melipatgandakan ibadah dan banyak lagi.

“Paling istimewa, menerusi tema ini, kita didik nurani dan melatih empati diri penonton untuk lebih peka kepada nasib golongan yang kurang berkemampuan terutamanya mereka yang sangat terkesan dari sudut ekonomi dan psikososial dek penangan pandemik global ini,” kata Namanzee dalam kenyataan di sini hari ini.

Namanzee berkata Ramadan tahun ini adalah peluang terbaik untuk umat Islam refleksi diri berdasarkan ujian ketika ini.

“Jangan jadikan keterbatasan berpuasa pada saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai alasan untuk tidak mengejar markah penuh ibadah ini.

“Kita diciptakan sebagai sebaik-baik kejadian. Kita adalah umat Nabi Muhammad SAW. Kita harus menjadi juara,” katanya.

Namanzee berkata kesemua program baharu itu menyeimbangkan empat kompenen penting di dalam diri manusia iaitu qalb (hati), al-ruh (ruh), al-nafs (nafsu), al-aql (fikiran). 

“Kita yakin, TV AlHijrah akan menjadi stesen pilihan utama rakyat Malaysia sepanjang Ramadan ini dek nadi penyiarannya yang mampu memberikan makanan jiwa buat penonton.

“Lihat sahaja sepanjang PKP dilaksanakan, TV AlHijrah menjadi pilihan utama penonton untuk kandungan Islam dengan syer saluran dua kali ganda di hadapan saluran-saluran Islamik yang lain.

“Malahan laman Facebook TVAH dilayari oleh 10.6 juta pengguna pada bulan ini iaitu tujuh kali ganda melebihi jumlah pengikut sedia ada,” katanya.

TV AlHijrah sedang menyusun dan merangka strategi baharu kempen musim haji akan datang dan kerjasama pihak korporat yang berminat untuk menaja kempen musim haji itu adalah dialu-alukan. – AlHijrah Online

Leave a Reply