SABAK BERNAM: Mayat seorang bayi ditemui terlangkup dalam lubang tandas wanita, di stesen minyak di Petronas Sungai Haji Dorani, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
Katanya, orang awam tersebut menjumpai mayat bayi yang tidak dikenal pasti jantina dan bangsanya di dalam mangkuk tandas wanita di stesen minyak tersebut.
“Apabila pihak polis sampai di tempat kejadian, pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan mengesahkan bahawa bayi tersebut meninggal dunia kira-kira jam 11.15 pagi.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam sedang giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek menyembunyikan kelahiran bayi dengan jalan membuang mayat dengan sulit,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.
Md Yusof berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452.—AlHijrah Online