KUANTAN: Mayat lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai terjatuh dari Jambatan Putra, Sungai Kuantan berjaya ditemukan pada pagi Rabu, lebih kurang satu kilometer daripada tempat mangsa dikatakan terjatuh.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd. Razam Taja Ibrahim berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan operasi di lokasi itu berjaya menemukan mayat tersebut jam 8.15 pagi.
“Mayat mangsa dibawa ke Pusat Kawalan Bomba dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kuantan dari atas Jambatan Putra selepas menghubungi bekas kekasihnya.
Berdasarkan maklumat diterima polis, seorang saksi mendapati sebuah motosikal ditinggalkan di atas jambatan dalam keadaan enjin masih hidup.
Tambahnya, saksi menjumpai sebuah telefon bimbit di atas sebuah motosikal dalam keadaan masih menyala, dengan panggilan video dengan seorang wanita dipercayai bekas teman wanita mangsa. —AlHijrah Online