MAYBANK MOHON MAAF PERKHIDMATAN TERGANGGU SUSULAN JUMLAH TRAFIK TINGGI

KUALA LUMPUR: Maybank tampil memohon maaf atas gangguan perkhidmatan yang dialami pelanggannya, sejak pagi Isnin.

Gangguan itu menyebabkan ramai pelanggan syarikat bank tersebut yang merungut kerana tidak dapat mengakses akaun mereka menerusi laman web Maybank2u, aplikasi M2U, aplikasi MAE dan penggunaan kad Debit.

Dalam satu kenyataan, Maybank memaklumkan masalah tersebut berpunca peningkatan jumlah trafik tinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Maybank ingin memohon maaf kepada pelanggan yang mengalami gangguan perkhidmatan di web Maybank2u, M2U App, MAE App dan penggunaan kad Debit hari ini.

“Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan dan memulihkan perkhidmatan sebaik mungkin. Kami jamin baki dan butiran akaun anda akan kekal utuh dan selamat dengan kami.

“Kami menghargai pemahaman dan kesabaran pelanggan kami dan akan terus mengemas kini maklumat secara berkala melalui media sosial rasmi Maybank dan platform M2U,” katanya.

Untuk bantuan dan maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank di 1-300-88-6688 (Malaysia) atau +60378443696 (Luar Negara) atau mengikuti/berkomunikasi melalui platform media sosialnya.—AlHijrah Online

Leave a Reply