Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

MENABUNG SEJAK REMAJA, JEJAK KAKI DI TANAH SUCI PADA USIA 90

DALAM NEGARA

MENABUNG SEJAK REMAJA, JEJAK KAKI DI TANAH SUCI PADA USIA 90

Biarpun terpaksa mengambil masa 75 tahun, Zakaria Hamat, 90, dari Kampung Bilok, Banggu, Kota Bahru, Kelantan tetap bersyukur apabila dijemput menjadi ‘duyufurrahman’ (tetamu Allah) dalam usia senja.

MAKKAH: Berkat menabung sejak umur 15 tahun, akhirnya seorang warga emas berusia 90 tahun berjaya menjejakkan kaki di Tanah Suci untuk menunaikan haji sekali gus menjadi jemaah tertua dari Malaysia tahun ini.

Biarpun terpaksa mengambil masa 75 tahun, Zakaria Hamat, 90, dari Kampung Bilok, Banggu, Kota Bahru, Kelantan tetap bersyukur apabila dijemput menjadi ‘duyufurrahman’ (tetamu Allah) dalam usia senja.

Zakaria yang ditemani cucu sulung Mohd Syafiq Mohd Sekari, 37, berkata kepayahan hidup dengan pendapatan tidak seberapa dan hanya bergantung kepada upah membanting padi menyebabkan beliau mengambil masa yang lama menabung sehingga simpanan cukup untuk menunaikan haji.

“Zaman dulu pergi merata-rata cari duit, sampai ke Kedah, sampai lima enam kali pergi ke sana untuk memukul (membanting) padi, tapi upah tak banyak, kadangkala dapat juga beras zakat sehingga lima enam guni dan hasilnya bolehlah buat simpan sikit-sikit,” katanya dalam dialek Kelantan kepada petugas media ketika ditemui di hotel penginapannya di sini baru-baru ini.

Walaupun hasil simpanan tidak seberapa, warga emas yang turut dikenali sebagai Poksu Ya itu memberanikan diri untuk mendaftar haji pada 2003.

Ditanya petuanya kekal sihat, beliau yang mempunyai isteri Ramlah Deris, 85, (tidak ikut haji) dan dua anak (namun telah meninggal dunia) serta 11 orang cucu itu berkongsi amalan membaca surah At-Taubah ayat 128-129 serta selawat tafrijiyah setiap kali selepas solat Maghrib dan Isyak.

Sementara itu Mohd Syafiq berkata datuknya atau dipanggil Chik, mendaftar haji pada 2003 menggunakan nombor telefon miliknya memandangkan beliau merupakan waris terdekat. 

“TH ada menghubungi saya tiga tahun lepas memaklumkan tentang tawaran kepada Chik untuk mengerjakan ibadah haji..namun saya tolak sebab kekangan dari segi kewangan keluarga, jadi saya tidak sedia.

“Pada 2023, sekali lagi Allah takdirkan Chik saya dapat tawaran haji dan kali itu saya terpaksa tolak juga disebabkan beberapa masalah. Akhirnya tahun ini apabila Allah sekali lagi menjemput Chik, saya sebagai cucu sulung kena usaha walau macam mana sekalipun untuk memastikannya dapat menunaikan haji,” katanya.

Hasil usaha dan pertolongan daripada ahli keluarga yang lain akhirnya beliau berjaya mencukupkan wang bagi membolehkan mereka bersama-sama menunaikan ibadah itu.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading