MISI BANTUAN BANJIR MRA BERI MANFAAT 25,000 MANGSA TERKESAN

KUALA LUMPUR: Seramai 25,000 mangsa banjir menerima manfaat daripada misi bantuan Malaysian Relief Agency (MRA) yang digerakkan sejak 18 Oktober tahun lepas.

Presiden MRA Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, bantuan itu diagihkan kepada penduduk di 111 lokasi yang terjejas teruk termasuk di Kelantan dan Terengganu.

“Setakat ini, 3,809 bakul makanan, 410 makanan siap dimasak, 1,834 pek kebersihan, 98 pek keperluan bayi dan 1,110 pakaian telah diagihkan kepada mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta di lokasi-lokasi lain yang terlibat.

“Jumlah keseluruhan bantuan banjir yang telah diagihkan ke negeri-negeri yang terkesan setakat ini bernilai RM 372,157 manakala seramai 662 sukarelawan terlibat dalam misi bantuan bencana banjir kali ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Mohd Daud, MRA turut memberikan rawatan kesihatan dari rumah ke rumah menerusi Klinik Bergerak serta khidmat kaunseling Psychological First Aid (PFA) kepada mangsa banjir.

Selain itu, MRA turut menyediakan perkhidmatan membaiki kerosakan kenderaan bermotor selain aktiviti gotong-royong bagi membersihkan kawasan masjid serta rumah-rumah terkesan banjir.

“Bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua bencana banjir, MRA sentiasa bersiap siaga dan akan memperkukuhkan lagi jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi membantu rakyat Malaysia menghadapi musibah banjir.

“MRA menzahirkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh rakan kerjasama serta para penyumbang yang sentiasa menyokong usaha MRA menyantuni mereka yang terkesan dengan bencana,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang untuk ‘Tabung Bantuan Banjir MRA’ boleh dibuat menerusi akaun Maybank Malaysian Relief Agency (5640 9820 6365) atau layari http://www.mra.my atau hubungi 03-9174 4672 untuk maklumat lebih lanjut.–AlHijrah Online

Leave a Reply