MLADENOV GESA ISRAEL HUKUM PEMBUNUH WARGA PALESTIN

RAMALLAH, 28 Januari – Pegawai atasan PBB mengecam tindakan jenayah penduduk haram Israel di Tebing Barat selepas seorang lelaki Palestin terbunuh dan 20 yang lain cedera dalam kejadian tembakan di salah sebuah perkampungan Sabtu lepas.
Menurut Al-Quds Foundation, penduduk haram Israel dilaporkan telah melepaskan tembakan semasa mereka menceroboh perkampungan al-Mughayyir di Ramallah.
“Pihak berkuasa Israel mesti menangkap para penjenayah tersebut dan mengheret mereka ke muka pengadilan,” kata Nickolay Mladenov, pegawai khas PBB bagi keamanan Timur Tengah.
Mengulas dalam media sosial twitter “Saya bersimpati dengan mangsa yang terkorban dan mendoakan kesejahteraan buat yang cedera. Keganasan dan perlakuan jenayah mesti ditolak oleh semua pihak”.
“Jenayah yang berlaku hari ini adalah sangat mengejutkan dan tidak dapat diterima sama sekali”.
Mangsa yang mati syahid dalam kejadian jenayah tersebut bernama Hamdi Taleb Na’san,38 tahun dan merupakan bapa kepada 4 orang anak.