Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

MUALAF TERHARU, SYUKUR DAPAT TUNAI HAJI

DALAM NEGARA

MUALAF TERHARU, SYUKUR DAPAT TUNAI HAJI

Wanita mualaf dari Miri, Sarawak, yang memeluk Islam sejak 24 tahun lepas, tidak pernah menduga yang satu hari nanti bakal menjejak kaki ke Tanah Suci kerana sebelum ini berasa dirinya masih kurang bimbingan dan pengetahuan.

MAKKAH: Kali pertama Khairunnisa Abdullah menjejak kaki di Masjidil Haram dan menatap Kaabah, lidahnya kelu sehingga tidak mampu mengungkapkan kata-kata serta sukar menahan deraian air mata.  

Wanita mualaf dari Miri, Sarawak, yang memeluk Islam sejak 24 tahun lepas, tidak pernah menduga yang satu hari nanti bakal menjejak kaki ke Tanah Suci kerana sebelum ini berasa dirinya masih kurang bimbingan dan pengetahuan.

“Semasa mula menatap Kaabah, saya tidak boleh cakap apa-apa. Dalam hati saya hanya mampu memanjat kesyukuran kehadrat Ilahi menjemput saya dan suami menjadi tetamu Allah sedangkan saya rasa banyak beban disebabkan dosa saya selama ini,” katanya kepada petugas media di hotel penginapannya semalam.

Menceritakan detik mula memeluk agama Islam, wanita dari kaum Mulu ini yang kini berusia 47 tahun berkata dia mengambil keputusan berbuat demikian pada tahun 2000 semasa ingin mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki beragama Islam.

Biarpun bapanya membantah ketika itu, namun dia tekad dengan keputusannya.

Sepanjang lebih 17 tahun mendirikan rumah tangga, dia kurang mendapat didikan sepenuhnya mengenai Islam sehingga memutuskan berpisah dengan suaminya selepas mempunyai empat cahaya mata. 

“Saya kemudian berkenalan dengan suami baharu pada 2018, barulah saya tahu apa itu Islam yang sebenar. Sebelum ini kehidupan saya mungkin agak nakal, namun selepas belajar agama, memang rasa jauh beza kerana ada perkara kita boleh buat, ada perkara kita tidak boleh buat… malah saya juga rasa lebih tenang,” katanya.

Lebih manis, hubungan dengan kedua ibu bapanya menjadi lebih erat berbanding sebelum ini.

Ditanya tentang persiapan untuk mengerjakan ibadah haji, wanita ini tidak menafikan sebagai saudara baharu memang banyak perkara yang kurang difahami, namun hasil  tunjuk ajar suami selain melalui pembacaan dan media sosial, dia berharap mampu menjalani ibadah haji sebaiknya. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading