MUDAHKAN URUSAN PEMBAYARAN BANTUAN TANPA BIROKRASI, TANPA ISI PELBAGAI BORANG – PM

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan pihak-pihak berkaitan untuk mempermudahkan urusan pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) tanpa birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang.

Menurutnya, kerajaan negeri telah membuat bayaran BWI telah bermula pada 27 Disember lepas dan dijangka selesai pada minggu ini.

Namun, Ismail berkata bagi negeri Selangor dan Pahang sedikit lewat berikutan melibatkan jumlah mangsa banjir yang ramai.

Sementara itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.4 bilion di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi memastikan segala bantuan serta kemudahan kepada mangsa-mangsa banjir dilaksanakan secara komprehensif, berkesan dan menyeluruh.

Katanya, kerajaan telah melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung BWI antaranya:

  • RM1,000 ringgit kepada setiap Ketua Isi Rumah atau KIR yang terjejas akibat banjir.
  • Menyalurkan kepada semua KIR yang terkesan termasuk kepada mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara atau PPS.
  • RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia.
  • Mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa berlakunya Monsun Timur Laut.

Dalam masa yang sama, kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pasca banjir sementara tambahan RM50 juta khusus untuk negeri Selangor dan Pahang bagi tujuan yang sama.

Ismail berkata, peruntukan tersebut akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk dan fasiliti awam yang rosak.—AlHijrah Online

Leave a Reply