Muhyiddin gesa agensi KDN ambil iktibar isu jual MyKad

KUALA LUMPUR – Kakitangan KDN dan agensinya digesa mengambil iktibar daripada kes penjualan kad pengenalan serta sijil lahir kepada warga asing dan menjalankan tugas dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini melakukan lawatan kerja ke Amerika Syarikat berkata, beliau akan memanggil semua kepimpinan dan pegawai kanan yang menguruskan agensi utama seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sekembalinya ke Malaysia, lapor Bernama hari ini.
Segala proses dan prosedur operasi standard (SOP) itu dijangka diperketat selain langkah lain diambil bagi mengelak aktiviti melanggar undang-undang melibatkan pegawai dan kakitangannya.
“Mungkin orang ramai berkata ini (menunjukkan) seolah-olah kita tak beri perhatian secara lebih terperinci tentang soal pengurusan hal imigresen atau pendaftaran.
“Saya nak katakan itu tidak benarlah, tapi satu dua kes ini membuka mata kita untuk menyatakan kita tak boleh ambil mudah perkara membabitkan soal keselamatan dan kedaulatan negara yang dilakukan individu mahupun sindiket,” katanya.
Beliau juga menegaskan, KDN tidak akan berkompromi dan melindungi pegawai terlibat sekiranya maklumat siasatan membuktikan mereka telah melakukan kesalahan, juga berkata apa yang berlaku itu mewujudkan perasaan tidak selesa di pihak kementerian.
Seorang Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang dan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di George Town atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud pula mengesahkan seorang pegawainya ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemalsuan cop keselamatan jabatan itu.