Hannah Yeoh minta segerakan pindaan Perkara 14 babitkan kewarganegaraan

Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia bakal mendapat status kewarganegaraan secara automatik sekiranya pindaan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan diluluskan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, ketika ini hanya bapa warganegara Malaysia yang dibenarkan memperolehi kewarganegaraan seperti itu, manakala ibu perlu membuat permohonan bagi tujuan itu, lapor Bernama, hari ini.

“Kita hidup dalam tahun 2019, lelaki dan wanita Malaysia harus mendapat layanan sama. Sebab itu kita telah menulis kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar untuk minta pindaan ini dibuat kerana banyak keluarga terjejas dengan undang-undang ini.

“Kita telah bermesyuarat sejak April tahun ini di mana tiga kementerian ini berbincang dan setakat ini maklum balas daripada kementerian terlibat adalah positif,” katanya selepas menghadiri Kempen Kesamaan Kewarganegaraan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Yeoh, isu membabitkan kewarganegaraan ini memberi tekanan, trauma dan menimbulkan masalah kepada keluarga dalam menguruskan anak mereka termasuk hal-hal kesihatan mahupun pendidikan.

Beliau juga menyatakan, pihaknya kini sedang mendapatkan statistik permohonan di bawah kategori ini daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan meneruskan kempen bagi mempercepatkan pindaan.

Kempen yang dianjurkan Kumpulan Sokongan Pasangan Asing itu bertujuan memberi kesedaran mengenai kesan diskriminasi jantina terhadap wanita di negara ini.

Leave a Reply