MUNAJAT UBATI KERINDUAN NASYID DI TV ALHIJRAH
Situasi semasa negara dan seluruh dunia yang diancam wabak COVID-19 benar-benar menguji kita. Tiada terkecuali industri hiburan.
Artis nasyid juga turut menerima tempias. Apatah lagi pada setiap Ramadan di mana artis nasyid ini selalunya akan aktif mengadakan persembahan di majlis-majlis berbuka puasa, malah ada hotel dan restoran bekerjasama dengan kelompok ini untuk tarikan pakej buffet Ramadan mereka.
Dalam situasi yang mencabar ini, munsyid atau artis nasyid, tetap berkarya melalui platform media digital khususnya media sosial.
Artis nasyid kini tidak ketinggalan menghasilkan content (kandungan) untuk Youtube, Instagram, dan Facebook.
Ia bukan sahaja dalam bentuk nyanyian tetapi juga perkongsian ilmu malah ada mengadakan kelas Al Quran online.
Munsyid Malaysia (Persatuan Nasyid Malaysia) juga turut mengadakan usrah bulanan melalui platform Zoom yang disertai artis-artis nasyid dari seluruh negara.
Idea untuk berkolaborasi dengan TV Al Hijrah ini bermula apabila pertemuan antara TV Al Hijrah, Munsyid Malaysia dan Nasyeed.com, ketika itu membincangkan tentang penganjuran Anugerah Nasyeed.com 2020 (ANC2020).
Namun sesungguhnya perancangan Allah lebih baik.
Biarpun keadaan semasa tidak mengizinkan untuk gerak kerja ANC2020 diteruskan, idea untuk menerbitkan program khas Munajat dicetuskan TV AlHijrah dan disambut baik Munsyid Malaysia dan Nasyeed.com.
Walaupun perbincangan yang amat singkat dan dibuat di atas talian, kerjasama dan komitmen ini dapat direalisasikan untuk menerbitkan program khas ‘Munajat’ sempena Ramadan dan Syawal.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata idea untuk menyantuni kelompok artis nasyid ini dicetuskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui misi MusaadahCOVID19.
“Beliau (Zulkifli) mahu kita santuni kelompok artis nasyid yang terjejas akibat pelaksanaan PKP dan hilang sumber pendapatan mereka,” katanya.
Penerbit Munajat, Nurainah Nabeeha berkata, objektif utama Munajat adalah sebagai hiburan mendidik jiwa yang bakal dikongsikan kepada seluruh warga Malaysia sambal berdakwah pada musim COVID-19 dengan harapan utama supaya semua pihak terus tabah dan sentiasa mengingati Allah swt.
“Pengalaman menerbitkan program kali ini cukup berbeza memandangkan pada kali ini rakaman dibuat oleh pihak Nasyeed.com dan Munsyid Malaysia.
“Rakaman dibuat di rumah masing-masing dan TV AlHijrah memberikan sepenuh kepercayaan kepada artis-artis untuk memberikan hasil yang terbaik dengan pemantauan yang teliti.
“Awalnya, kita cuba untuk melibatkan seramai mungkin artis nasyid dalam program ini. Namun menyedari kekangan logistik, masa dan fasiliti yang mungkin dihadapi oleh ramai artis nasyid, maka hanya sebahagian dapat penuhi komitmen untuk bersama.
“Alhamdulillah, line-up untuk Munajat ini tetap berjaya menggabungkan artis nasyid daripada pelbagai latar belakang,” kata Nurainah.
Antara artis terlibat dalam Munajat adalah Hijjaz, Daqmie, Mestica, Inteam, Fadzli Aziz, Al Farabi Band, Fine dan Ustaz Hasnul Diwani

“Ada hikmah di sebalik ujian COVID-19. Ia bukan hanya memutuskan rantaian jangkitan wabak itu tetapi memutuskan cinta kita kepada dunia,” kata Daqmie ketika ditemubual AlHijrah Online baru-baru ini.
Daqmie yang juga artis nasyid dari platform Nasyeed.com berkata, kerjasama dengan TV AlHijrah itu amat membantu kelompok artis nasyid yang terjejas akibat pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi mengekang penularan COVID-19.
Munajat bakal bersiaran pada setiap Sabtu jam 9 malam sepanjang Ramadan bermula malam ini sebelum diikuti episod khas sempena Aidilfitri. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali & Razin Mestica