MY #QURANTIME: SINERGI KUMPULAN MOFAZ DAN TV ALHIJRAH DEKATKAN AL-QURAN KEPADA MASYARAKAT

DAMANSARA, SELANGOR: Khabar gembira buat peminat setia program terbitan TV AlHijrah, My #QuranTime! Kerjasama korporat saluran TV berkonsepkan Islamik berkenaan bersama kumpulan MOFAZ akan membawa program tadabbur Al-Quran itu menjelajah ke setiap negeri tidak lama lagi.

Komitmen itu dinyatakan Presiden Kumpulan MOFAZ, Mohamed Fauzy Abdul Hamid yang melihatnya sebagai satu tanggungjawab bersama TV AlHijrah dalam mendekatkan kitab suci Al-Quran kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Selepas ini mungkin kita akan buat road show (jerayawara). Perancangan saya mungkin kita akan bawa para ustaz sebulan sekali dari satu tempat ke satu tempat kita untuk mendekatkan Al-Quran kepada masyarakat dan mendampingi mereka”, kata Mohamed Fauzy selepas pemeteraian perjanjian kerjasama korporat antara MOFAZ dengan TV AlHijrah pada Jumaat.

“Nama TV AlHijrah juga akan jadi satu nama yang sinonim dengan pembelajaran Al-Quran, bukan sahaja di Malaysia, bahkan kita juga akan bawa nama TV AlHijrah ke Rusia satu hari nanti”, katanya.

Menerusi kerjasama korporat itu, MOFAZ bersetuju menjadi penaja utama program My#QuranTime yang kini disiarkan secara langsung setiap hari di TV AlHijrah jam 12 tengah hari. Komitmen MOFAZ ialah untuk membawa program My #QuranTime sepanjang 604 episod iaitu dari permulaan kitab suci itu hingga khatam Al-Quran.

Program berkenaan diterajui tiga pendakwah tersohor, Ustaz Fazrul Ismail termasuk dua qari bertaraf antarabangsa, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Ustaz Ahmad Tirmizi Ali.

Sebelum ini kerjasama MOFAZ dengan TV AlHijrah berjaya menerbitkan program Islamik lain seperti Ihya’ Ramadan dan Kembara Sufi, yang ke udara Ramadan lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, pihaknya amat meraikan sebarang bentuk kerjasama dengan pelbagai pihak sebagai mana dilakukan bersama MOFAZ, dalam menerbitkan program-program berbentuk agama dan dakwah yang mula mendapat tempat dalam kalangan penonton, termasuk My #QuranTime.

“Lazimnya orang melihat program agama ini di tempat kedua dan sukar menandingi program hiburan, namun kejayaan penerbitan My #QuranTime ini menyanggah pendapat itu”, jelas Namanzee.

“Ia membuktikan program agama, apabila diterbitkan dengan satu kefahaman yang betul dan niat yang betul, ia mendapat tempat yang setanding dengan program-program lain termasuk yang berunsur hiburan”, katanya lagi.

TV AlHijrah, jelas Namanzee, kekal berdaya saing dan menjadi satu jenama yang dipercayai masyarakat meski pun dunia kini dibelenggu kemelesetan ekonomi dan ancaman kesihatan akibat penularan COVID-19. Ia jelas terbukti menerusi sokongan yang diberikan terhadap penerbitan program-program dakwah oleh para penaja mahu pun penonton setia saluran TV berkenaan.

“Beberapa syarikat korporat lain turut merangka pelbagai usaha sama dengan TV AlHijrah tidak lama lagi”, kata Namanzee. — AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply