SUBAHAT SELUDUP PATI: POLIS TAHAN PEGAWAI KANAN IMIGRESEN

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Johor diberkas disyaki berperanan penting dalam sindiket membawa masuk pendatang haram sejak beberapa bulan lalu.

Suspek, seorang wanita berusia 50 tahun itu merupakan individu berstatus penolong pengarah di salah sebuah kompleks imigresen di negeri itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata suspek ditahan di pejabatnya pada tengah hari Rabu oleh anggota Cawangan Khas IPK Johor.

“Modus operandi suspek adalah dengan menyediakan cop imigresen Malaysia yang disyaki palsu bagi menguruskan penyeludupan warga Indonesia yang telah tamat tempoh pas lawatan sosial (PLS) sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan,” katanya dalam satu sidang media di Johor.

Penahanan suspek merupakan tangkapan pegawai berpangkat paling tinggi yang terbabit sindiket penyeludupan pendatang haram setakat ini.

Tindakan ke atas wanita itu rentetan kepada penahanan tiga pegawai imigresen pada 23 Jun lalu, yang dipercayai terlibat dalam kes sama.

Tegas Datuk Ayob, pihaknya tidak akan bertolak ansur dan tidak melindungi mana-mana pihak berjawatan tinggi andai didapati terlibat dalam sindiket penyeludupan.

“Tiada pengecualian. Polis Johor tidak melihat status, kalau terlibat kita tangkap tidak mengira kedudukan. Ada pihak cuba kaitkan isu tangkapan (sindiket) ini dengan mengatakan bahawa polis menganiaya,” katanya.

Siasatan ke atas suspek dibuat mengikut Seksyen 26 (A) Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dengan mengguna pakai prosedur siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. — AlHijrah Online/Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply