NA’IM MAMPU BAWA AGENSI AGAMA KE ARAH REFORMASI – JAKIM

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) percaya pelantikan Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai Menteri Agama yang baharu mampu membawa hala tuju agensi agama ke arah reformasi pengurusan Hal Ehwal Islam.

Ketua Pengarahnya Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, ianya selaras semangat Kerajaan Perpaduan yang berpaksikan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“JAKIM selaku Sekretariat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yakin dan percaya bahawa pelantikan Menteri Agama oleh pihak Kerajaan pada kali ini telah mendukung semangat MKI sebagaimana perubahan Peraturan MKI 2022 yang telah diperkenankan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-258 pada 9 hingga 10 Mac 2022.

“JAKIM juga ingin mengucapkan syabas dan sekalung tahniah kepada Mohd Na’im atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak kerajaan terhadap beliau untuk mengetuai pentadbiran agensi hal ehwal Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JAKIM turut menzahirkan rasa syukur serta penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pemilihan Mohd Na’im sebagai Menteri Agama di dalam Kabinet pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Sebagai rekod, Mohd Na’im merupakan mantan Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).—AlHijrah Online

Leave a Reply