NASI AYAM CLAYPOT: HATI-HATI PILIH RESTORAN, PASTIKAN ADA LOGO HALAL – MOHD NA’IM

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menasihati umat Islam agar berhati-hati dan memastikan bahawa restoran yang dikunjungi mempunyai status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Beliau berkata ini penting kerana benda yang dimakan akan menjadi darah daging.
“Saya menasihati seluruh masyarakat Islam agar berhati-hati bila kita ke restoran dan tempat makan, sebagai orang Islam kita digalakkan tengok ada logo halal atau tidak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran TH Khairat di Menara Tabung Haji di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata demikian ketika diminta mengulas video tular baru-baru ini berhubung status halal sebuah premis nasi ayam claypot di Seri Petaling yang menggunakan wain beras dalam masakan.
“Saya ulangi apa yang JAKIM sebut bahawa pemilik restoran tersebut bukan pemilik sijil halal Malaysia yang dikeluarkan oleh badan autoriti,” katanya.
Beliau berkata JAKIM mempunyai cara untuk mengenal pasti sama ada sesebuah restoran memiliki sijil halal atau sebaliknya.
Katanya umat Islam digalak melayari portal rasmi Halal Malaysia di halal.gov.my atau memuat turun aplikasi Verify Halal bagi membolehkan mereka mengetahui sama ada pemilik sesebuah restoran mempunyai sijil halal atau tidak. — AlHijrah Online