NEGERI SEMBILAN: AKTIVITI PENGIMARAHAN BULAN RAMADHAN DI MASJID DAN SURAU DIBENARKAN

SEREMBAN: Negeri Sembilan membenarkan semua masjid dan surau beroperasi antara jam 4 pagi sehingga 12 tengah malam sepanjang bulan Ramadan ini.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengeluarkan garis panduan tentang prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan kebenaran tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, solat sunat tarawih dibenarkan yang mana pihak masjid boleh memilih antara lapan, sepuluh, atau 20 rakaat beserta tiga rakaat solat sunat witir.

“Tazkirah sebelum atau selepas solat tarawih tidak dibenarkan, imam diminta memendekkan surah yang dibaca bagi membolehkan solat diselesaikan lebih awal.

“Moreh dibenarkan dengan cara bungkusan dan boleh makan di masjid dengan mengikut penjarakan sosial,” katanya.

Tambahnya, aktiviti qiamullail, tadarus al-Quran, iktikaf harian serta aktiviti berbuka puasa turut dibenarkan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan sementara iktikaf bermalam tidak dibenarkan.

Sementara itu, pelaksanaan kebenaran tersebut berada di bawah tanggungjawab jawatankuasa serta jemaah semasa berada di masjid dan surau.

“Ia termasuk menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri dan berwuduk dari rumah serta menghadkan penggunaan tandas,” katanya. —AlHijrah Online

Leave a Reply