DR ZULKIFLI WAKIL ASIA DALAM AMJA

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dilantik sebagai anggota The Assembly of Muslim Jurists of America (AMJA).

Menerusi ciapan beliau di laman Twitter, Zulkifli merupakan satu-satunya wakil Asia dalam AMJA.

Katanya, AMJA menghimpunkan ulama seluruh dunia Islam dan termasuk di negara-negara Barat.

“Saya dengan rendah diri menerima penghormatan daripada AMJA yang menyampaikan hasrat untuk melantik saya sebagai anggota,” katanya.

Lewat malam tadi, Zulkifli buat kali pertama menghadiri mesyuarat tersebut yang membincangkan kaedah penentuan awal bulan Ramadan melalui ru’yah, hisab falak (pengiraan) dan ru’yah-hisab dengan menggunakan kriteria imkan al-ru’yah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan (hilal).

“AMJA ditubuhkan sebagai satu maklumbalas kepada keperluan yang mendesak kepada isu-isu fiqh melibatkan Muslim di Barat.

“Matlamat utamanya adalah untuk menentukan permasalahan hukum menggunakan standard akademik yang tinggi, pendekatan yang wasatiyyah dan menolak ekstremisme,”katanya.

Zulkifli berkata, antara ulama terkenal yang dilantik sebagai anggota AMJA adalah Sheikh Dr. Mohammad Akram Nadwi, Sheikh Dr. Muhammad al-Zuhayli dan Sheikh Waleed Basyouni.

Beliau menganggap pelantikan tersebut sebagai amanah besar untuk membawa nama Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh bagi dunia Barat khususnya di Amerika Syarikat.–AlHijrah Online

Leave a Reply