OPERASI RANGKAIAN HOTEL TH DITERUSKAN DI BAWAH UJPM, TIADA KAKITANGAN DIBERHENTIKAN

KUALA LUMPUR: Operasi rangkaian hotel-hotel Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindah milik daripada TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ), diteruskan di bawah bawah anak syarikat milikan penuh UJ, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM).

TH dan UJ dalam kenyataan bersama hari ini menegaskan, semua kakitangan TH Hotel Kota Kinabalu; TH Hotel Bayan Lepas; TH Hotel & Convention Centre Alor Setar; dan TH Hotel & Convention Centre KualaTerengganu, sebelum ini di bawah seliaan TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR), dikekalkan.

Kenyataan itu berkata, UJPM akan mengambil alih operasi keempat-empat hotel itu yang sebelum ini di bawah seliaan THHR bermula 1 April 2020.

“Kesemua hotel ini adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu (1) syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 billion pada hari pemindahan.

“UJ telah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 billion dan membayar RM300 juta tunai bagi melengkapkan transaksi ini,” kata kenyataan Lembaga Tabung Haji dan UJ di sini hari ini.

Penubuhan UJPM adalah antara langkah memastikan kesinambungan pekerjaan serta operasi hotel memandangkan aset-aset hotel di bawah milikan TH telah berpindah milik kepada UJ pada Disember 2018 tanpa berlakunya perpindahan pengurusan dan kakitangan hotel.

Kenyataan itu berkata operasi hotel di bawah pengurusan baharu akan beroperasi seperti sedia kala dan kekal sebagai hotel patuh syariah dengan nama baharu iaitu Raia Hotel mulai 1 April 2020.

Pihak UJ juga telah menyediakan dana bagi menambahbaik kemudahan dan fasiliti hotel untuk memberi manfaat kepada pengunjung, selain meyakinkan kepada orang ramai bahawa hotel-hotel ini boleh digunakan ketika musim operasi haji.

“Tiada kakitangan THHR akan diberhentikan. Seramai 90 peratus daripada kakitangan THHR akan terus bekerja di rangkaian Raia Hotel, manakala 10 peratus kakitangan hotel akan diserap oleh THHR Kelana Jaya.

“Selain itu, 90 peratus kakitangan yang terlibat juga akan menerima saguhati berdasarkan sumbangan yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan di THHR,” kata TH dan UJ dalam kenyataan itu.

TH juga memberi jaminan akan sentiasa menjaga kebajikan kakitangan yang terlibat demi kelangsungan karier mereka di masa hadapan.

TH dan UJ juga menegaskan pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel oleh pihak UJPM adalah sebahagian daripada Pelan Pemulihan Semula dan Penstrukturan TH.

“Langkah pengambilalihan operasi hotel-hotel ini daripada THHR adalah langkah-langkah yang perlu diambil oleh UJ bagi memenuhi mandat yang telah diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan komitmen kerajaan,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan itu berkata UJ memainkan peranan penting bagi memastikan objektif ini tercapai dan akan sentiasa giat berusaha mengembangkan nilai aset-aset di bawah portfolio UJ.

TH dan UJ berharap rakyat Malaysia akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pihak pengurusan baharu yang akan menjadi operator di empat hotel itu.

“Ini kerana, dari segi asasnya, pihak UJ akan meningkatkan imej hotel-hotel itu dari segi penjenamaan semula, menaik-taraf fasiliti dan mengoptimumkan tahap kecekapan,” kata kenyataan itu.

UJPM diterajui oleh Muhammad Solleh Ramli yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan perhotelan.

Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Proasset Management Sdn Bhd yang merupakan syarikat pengurusan Hotel MS Garden Kuantan di Pahang dan pernah menerajui Rangkaian Hotel Seri Malaysia sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif. — AlHijrah Online

Leave a Reply