PAAB SUMBANG RM50,000 KEPADA MANGSA BANJIR TEMERLOH

Pengerusi PAAB, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali turut hadir pada majis penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir Temerloh.

TEMERLOH: Sejumlah RM50,000 disumbangkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) kepada penduduk di sekitar daerah Temerloh, Pahang yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini.

Pengerusi PAAB Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata sumbangan itu melibatkan 250 keluarga yang diharap dapat meringankan beban mereka selepas ditimpa musibah banjir.

“PAAB turut bersedih dan bersimpati dengan musibah yang melanda di negeri Pahang dan Selangor bulan lalu membabitkan banyak kemusnahan rumah kediaman, harta benda dan kenderaan yang ditenggelami banjir serta dihanyutkan arus deras,” katanya.

Tambah beliau, sokongan padu dan jitu daripada keluarga Malaysia amat diperlukan pada waktu ini untuk memastikan semua mangsa banjir dapat bangkit daripada trauma yang dialami.

Orang ramai juga digesa menghentikan segala tohmahan, buruk sangka dan tuding menuding kerana semua pihak telah melakukan usaha dan ikhtiar terbaik bagi membantu mangsa banjir khususnya di kedua-dua negeri tersebut.

Majlis Penyerahan Sumbangan Pasca Banjir PAAB Prihatin di Chenor semalam turut dihadiri Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib, Ahli Dewan Undangan Negeri Chenor, Mujibur Rahman Ishak serta Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali. – AlHijrah Online

Leave a Reply