PALESTIN MENGALUKAN KEPUTUSAN ICC SIASAT JENAYAH ISRAEL

RAMALLAH: Palestin menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsan (ICC) di The Hague bagi menyiasat perlakuan jenayah Israel di Wilayah Palestin.
Lapor agensi Berita Xinhua, Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki berkata negaranya mengalu-alukan keputusan ICC bagi meneruskan siasatan terhadap jenayah Israel.
“Ini langkah yang dinanti-nantikan sejak sekian lama bagi menuntut keadilan buat Palestin.
“Kami berharap tindakan serius di peringkat antarabangsa dapat memberikan keadilan kepada mangsa Palestin,” katanya pada Rabu lalu.
Dalam masa yang sama, gerakan Islam Hamas menerusi jurucakapnya di Semenanjung Gaza, Hazem Qassem, turut memuji langkah yang diambil ICC.
“Keputusan tersebut sebagai langkah ke depan bagi menghukum pemimpin (Israel) yang mengetuai pencerobohan dan menjadi dalang kepada jenayah perang terhadap rakyat kita.
“Hamas meminta ICC menolak tekanan yang mungkin akan timbul yang bertujuan menghalang usaha mendapatkan keadilan dan melaksanakan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Rabu lalu, Ketua Pendakwaraya ICC, Fatou Bensouda memaklumkan siasatan terhadap tuduhan jenayah yang dilakukan Israel di wilayah Palestin telah dijalankan.
“Siasatan tersebut merangkumi jenayah di bawah bidang kuasa mahkamah yang didakwa telah dilakukan sejak 13 Jun 2014, tarikh rujukan dibuat mengikut rujukan situasi itu ke pejabat saya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, siasatan akan dilakukan secara bebas, tidak berat sebelah serta adil tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam siasatan ICC terhadap dasar-dasar Israel di wilayah Palestin dan menuduh mahkamah “hipokrit dan anti-Yahudi” serta berikrar untuk “memperjuangkan kebenaran”.
Pada 2019, Bensouda berkata wujud “sebab-sebab munasabah” untuk membuka siasatan jenayah perang terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gasa dan juga aktiviti penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki.—AlHijrah Online