PASUKAN PENGURUSAN JENAZAH AKAN DITAMBAH DI HTAR

KUALA LUMPUR: Jumlah jenazah muslim COVID-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dilaporkan meningkat hingga menyukarkan kelancaran pengurusan jenazah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata beliau akan membantu menambah pasukan pengurusan jenazah di HTAR.

“Bagi mendapat gambaran yang lebih jelas saya dibawa melihat sendiri proses pengurusan jenazah bermula di bilik mayat, solat jenazah, sehinggalah ke kontena yang bakal memuatkan jenazah.

“Saya lihat wajah barisan hadapan di sini menggambarkan keletihan mereka.

“InsyaAllah kami akan bantu daripada sudut tambahan pasukan pengurusan jenazah dan ubahsuai kontena sedia ada agar ia boleh digunakan secara optimum dan selesa,” katanya dalam catatan di Facebook selepas meninjau proses pengurusan jenazah muslim yang menjadi mangsa COVID-19 di HTAR hari ini.

Dalam tinjauan itu beliau diberi taklimat berkenaan proses yang diuruskan oleh pihak hospital dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

May be an image of 1 person, sitting and standing
May be an image of one or more people, people standing and indoor
SUMBER FACEBOOK DATUK DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

“Walaupun tidak lagi bernyawa, Islam mengajarkan kita untuk memuliakan jenazah dengan memastikan dua elemen dijaga dengan baik iaitu diuruskan secepat mungkin dan diuruskan dengan penuh kehormatan.

“Sentiasa doa dan bermunajat kepada Allah SWT. Pastikan patuh kepada SOP. Moga Allah SWT pulihkan Malaysia kembali seperti sediakala,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply