Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PECAH CERMIN KENDERAAN DI LEBUH RAYA, WARGA SINGAPURA DIDENDA RM5,500 

DALAM NEGARA

PECAH CERMIN KENDERAAN DI LEBUH RAYA, WARGA SINGAPURA DIDENDA RM5,500 

MUAR: Seorang warga Singapura didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memecahkan cermin kenderaan seorang pengguna jalan raya di Kilometer 139.6 Lebuhraya Utara Selatan, Pagoh pada Sabtu lepas.

Majistret Fatin Dalilah Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Soh Kian Hui, 45, dan mengarahkannya dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Soh didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin belakang kereta jenis Toyota Fortuner milik Khairul Husni Shah Jamil, 31, yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM2,502.35.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 1.58 tengah hari, 10 Feb lepas mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Soh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Norain Sakina Zikri memohon hukuman ringan memandangkan dia bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan sekitar SGD$3,000 dan menjaga ibunya berusia 71 tahun yang baharu menjalani pembedahan kanser.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Ariff Marzuki memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam selepas kejadian itu tular di media sosial. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading