
NILAI: Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditemukan maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.30 malam.
“Pembunuhan itu dipercayai dilakukan oleh suaminya. Suspek juga menyerahkan diri di balai polis selepas kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian bagi mengenal pasti motif pembunuhan serta waktu tepat kejadian.
Suspek turut dibawa ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut.
Alzafny berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan maklumat lanjut akan dikeluarkan selepas siasatan di tempat kejadian selesai sepenuhnya. — AlHijrah Online