PEJABAT SYED SADDIQ DIARAH TUTUP, TIADA KEBENARAN PROGRAM AGIHAN BANTUAN

JOHOR BAHRU: Pejabat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diarah tutup bermula hari ini susulan tidak mendapat kebenaran bagi mengadakan program penyerahan bantuan yang berpusat di pejabatnya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Syed Saddiq hanya memohon kebenaran melakukan agihan bantuan dari rumah ke rumah sahaja.

Jelas beliau tindakan untuk menghentikan program penyerahan bantuan di pejabat tersebut dibuat oleh penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Muar.

“Arahan itu dibuat kerana pegawai kesihatan melihat program yang dihadiri lebih 100 orang dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

“Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memang dibenarkan untuk menjalankan aktiviti memberikan bantuan tetapi perlu mendapat kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Bagaimanapun, Ayob memaklumkan pihak berkuasa hanya mengeluarkan amaran dan tidak mengenakan kompaun kepada pihak terlibat.

Sebelum ini, Syed Saddiq memuat naik hantaran berserta beberapa keping gambar di laman sosialnya mengenai pemakluman penutupan pejabat Parlimen Muar oleh pihak polis selepas menerima kehadiran penduduk Muar yang ramai untuk menerima bantuan yang diagihkan.—AlHijrah Online

Leave a Reply