PEK MAKANAN PERCUMA MENERUSI DAPUR IT’AM 3.0 BERMULA HARI INI HINGGA APRIL

KUALA LUMPUR: Program edaran pek makanan percuma menerusi inisiatif Dapur It’am 3.0 diteruskan bermula hari ini hingga 11 April 2021 di 56 buah masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Program tersebut merupakan inisiatif Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran, Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon.

Menurut JAWI, Dapur It’am 3.0 adalah kesinambungan inisiatif yang telah dimulakan pada bulan Ramadan tahun lalu.

“Pogram tersebut berkonsepkan soup kitchen yang berpusat di masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan yang menyediakan edaran pek makanan bermasak secara percuma kepada golongan sasaran yang memerlukan.

“Seramai 134,400 orang dijangka menerima manfaat daripada inisiatif tersebut yang terdiri daripada petugas barisan hadapan, petugas kebersihan, pemandu e hailing, asnaf dan golongan B40, rakan kejiranan bukan Muslim serta lain-lain golongan yang terkesan dan memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan,” jelas kenyataan JAWI hari ini.

Menurut JAWI, secara keseluruhan sebanyak 134,400 pek makanan akan diedarkan dalam tempoh lapan minggu dengan setiap 56 buah masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan akan menyediakan 300 pek makanan.

Ia akan diedarkan pada waktu tengah hari melalui wakil penduduk atau khidmat penghantar makanan.

Sejumlah RM 1,344,000 diperuntukkan untuk program tersebut sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang terkesan dan memerlukan dengan menyasarkan sifar lapar atau setiap keluarga mempunyai makanan di atas meja setiap hari di dalam mendepani tempoh getir pandemik Covid-19 yang melanda negara. – AlHijrah Online

Leave a Reply