PEKERJA KUTIP SAWIT CURI MOTOSIKAL DALAM MASJID

PEKAN: Dua pekerja kontrak mengutip sawit di sebuah ladang di Temerloh direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes curi motosikal dalam kawasan Masjid Sultan Ahmad Shah, Kerdau, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, suspek telah melarikan sebuah motosikal jenis Honda EX5 ketika jemaah lain menunaikan solat, kira-kira jam 8.17 malam.

“Pada jam 10.30 malam, Polis Bantuan Ladang Sime Darby yang bertugas di pos pengawal ladang tersebut telah melihat rakaman video kejadian yang tular di Facebook.

“Suspek yang merupakan pekerja kontrak mengutip buah di ladang berkenaan, dilihat menunggang motosikal curi tersebut melalui pos pengawal polis bantuan untuk masuk ke dalam kawasan ladang berkenaan yang terletak lebih kurang 21 km dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki warga tempatan berumur 19 dan 24 tahun itu berjaya ditahan bersama motosikal curi tersebut hasil bantuan pasukan Polis Bantuan Ladang Sime Darby.

Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik, katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.—AlHijrah Online

Leave a Reply