PEKERJA PASAR RAYA DIDAKWA BUNUH KANAK-KANAK BERUSIA 2 TAHUN.

ROMPIN : Seorang pekerja pasar raya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rompin atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki dibawah jagaannya yang berusia dua tahun.

Tertuduh, Mohd Noor Ab Manap, 31, hanya mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan ke atas Adam di sebuah rumah di Kampung Janglau Rompin pada pukul 2 pagi 11 November lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhalimatun Saadiah Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan.

Kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Rompin dalam kenyataan media memaklumkan, tertuduh didakwa bertindak memijak mangsa pada bahagian perut sebanyak dua kali hingga mengakibatkan mangsa meninggal dunia.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Kasing, Endau Rompin dikatakan melakukan perbuatan itu kerana tidak berpuas hati dan tidak rela kerana terpaksa menjaga mangsa.

Mangsa kemudiannya dibawa oleh tertuduh ke Hospital Rompin dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada jam 4 pagi hari sama.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 20 Disember ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. –AlHijrah Online

Leave a Reply