PELAJAR IPT KEMBALI KE KAMPUS SECARA BERFASA BERMULA 1 MAC 2021

KUALA LUMPUR: Pelajar tempatan di Institut Pendidikan Tinggi (IPT) akan kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing bermula 1 Mac 2021.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, pelajar dari Zon Merah akan kembali ke kampus 10 hari lebih awal untuk menjalani proses pengasingan demi memastikan mereka bebas COVID-19.

“Bagi IPT yang terletak di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tertakluk kepada prosedur yang diguna pakai oleh kerajaaan negeri masing-masing.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah meluluskan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membenarkan kemasukan semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu di IPTA dan IPTS kecuali di United Kingdom seawal 1 Januari 2021.” kata Noraini dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, pelajar antarabangsa juga perlu memenuhi syarat kuarantin wajib selama 10 hari sebelum masuk ke kampus.

Dalam pada itu ujar Noraini, keputusan membenarkan kemasukan pelajar ke IPT secara fizikal adalah bagi membolehkan pelajar tempatan dan antarabangsa mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu secara bersemuka dan dalam talian.

Selain itu keputusan tersebut juga selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terjamin.

“Kementerian menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan norma baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka, memakai cecair pembasmi kuman serta menjaga penjarakan fizikal,” kata Noraini.

Pelajar yang mempunyai sebarang persoalan boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 09-8870 6777/6949/6623/6124, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan ke IPT. — AlHijrah Online

Leave a Reply