PEMANDU LORI MAUT TERSEPIT

SEREMBAN: Seorang pemandu lori muatan tar maut dalam kemalangan dengan dua lori lain di Kilometer 273.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut laporan yang dikeluarkan, kemalangan melibatkan lori yang dipandu mangsa melanggar belakang sebuah treler membawa baja sebelum terbabas dan melanggar sebuah lori kontena bermuatan barangan plastik di lorong paling kiri lebuh raya.

Akibat pelanggaran itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.—AlHijrah Online

Leave a Reply