KAKITANGAN TV ALHIJRAH POSITIF COVID-19

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan TV AlHijrah disahkan positif COVID-19 pada 28 Disember 2020.

Susulan itu kakitangan berkenaan kini sedang menjalani rawatan di salah sebuah hospital kerajaan di ibu negara.

TV AlHijrah dalam satu memorandum kepada kakitangannya memaklumkan, para petugas stesen televisyen itu yang dikenalpasti mempunyai kontak rapat dengan individu positif COVID-19 tersebut telah diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari dan kesemuanya sudah dihantar untuk menjalani ujian saringan.

“Semua warga kerja TV AlHijrah diarahkan untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula pada 29 Disember 2020 sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kecuali mereka yang terlibat dalam memastikan kelangsungan operasi siaran TV AlHijrah dan operasi keselamatan TV AlHijrah.

“Warga kerja yang terlibat dalam memastikan kelangsungan operasi siaran TV AlHijrah dan operasi keselamatan TV AlHijrah yang hadir bertugas diwajibkan memakai pelitup muka pada setiap masa dan memastikan kebersihan diri dengan sentiasa menggunakan hand sanitizer serta mengamalkan penjarakan fizikal,” jelas memorandum yang dikeluarkan itu.

Memorandum tersebut turut memaklumkan kerja-kerja disinfeksi premis TV AlHijrah telah dibuat pada jam 1.30 pagi pada 29 Disember 2020 merangkumi keseluruhan ruang kerja dan ruang gunasama pejabat TV AlHijrah.

Selain itu bagi memastikan keselamatan kakitangan dan tetamu, program bual bicara Assalamualaikum yang disiarkan secara langsung dari jam 7 pagi hingga 9.30 pagi setiap hari akan digantikan dengan program bersesuaian bermula Jumaaat 1 Januari 2021 hingga Ahad 3 Januari 2021.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut bersimpati terhadap ujian yang menimpa kakitangan TV AlHijrah yang disahkan positif COVID-19.

Beliau sempat menitipkan bacaan doa selain memberikan kata-kata semangat kepada kakitangan tersebut.

“Gunakan masa ketika berada di hospital untuk aktiviti beribadat, doa, menambah ilmu melalui pembacaan dan sentiasa kita bermuhasabah.

“Penyakit ini banyak mengajar kita erti kemanusiaan, erti kasih sayang, erti kehambaan kerana harapan kita menggunung kepada Allah SWT,” kata Zulkifli dalam ucapannya. – AlHijrah Online

Leave a Reply