PELAJAR LEPASAN SPM DIDAKWA ROGOL, SIMPAN VIDEO LUCAH

MELAKA: Seorang pelajar lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan merogol dan memiliki video lucah melibatkan seorang gadis bawah umur.
Muhammad Isa Muhaimim Mohamad Fauzi, 18, membuat pengakuan itu pada prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen 3 dan Mahkamah Majistret 2 Ayer Keroh di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam dan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, di Taman Limbongan Permai di sini, antara September 2022 hingga Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan tertuduh didakwa memiliki telefon bimbit mengandungi video lucah dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, pada 10 malam, 5 Mei lalu.
Tertuduh boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Difahamkan, video berkenaan dirakamkan antara tertuduh dan kekasihnya.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 manakala J. Banusha pula mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000.
Bagaimanapun tertuduh diwakili Peguam Goh Chin Han, merayu jaminan rendah dikenakan terhadap tertuduh yang tidak bekerja kerana baharu tamat persekolahan selain hanya bergantung kepada pendapatan bapanya sebagai pemandu lori.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM14,000 selain menetapkan 19 Jun depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.—AlHijrah Online