PELARIAN DI TURKI MULA PULANG KE UTARA SYRIA
SANLIURFA: Pelarian Syria yang lari ke Turki akibat keganasan kumpulan pengganas mula pulang ke negara mereka semalam, susulan operasi “pembersihan” tentera Turki.
Agensi berita Anadolu melaporkan ketika situasi kembali normal di daerah Ras al-Ayn selepas Operasi Peace Spring, kestabilan mula beransur di wilayah utara Syria itu.
Seramai 70 pelarian Syria, termasuk wanita dan kanak-kanak yang berlindung di tenggara sempadan wilayah Sanliurfa di Turki mula bergerak keluar dari daerah Viransehir dan Ceylanpinar selepas membuat permohonan kembali ke Syria dengan pihak berkuasa tempatan.
Melepasi sempadan, mereka menyatakan penghargaan kepada Tentera Turki dan Tentera Syria Nasional yang menyambut mereka di sebelah Syria.
Pelarian Syria, Muazzin al-Muhammad memberitahu pemberita yang beliau gembira Ras al-Ayn telah bebas dari pengganas.
“Kami berlindung di Turki selama tujuh tahun. Saya amat gembira untuk pulang ke negara kami,” katanya.
Al-Muhammad baru berusia 11 tahun ketika dia terpaksa meninggalkan Ras al-Ayn.
“Kami berterima kasih kepada Presiden (Turki) Recep Tayyip Erdogan atas semua ini,” katanya.
Turki melancarkan Operasi Peace Spring pada 9 Oktober lalu untuk menghapuskan kumpulan pengganas YPG/PKK dari wilayah utara Syria di timur Sungai Euphrates, dalam usahanya memastikan keselamatan sempadan Turki, memastikan pelarian Syria selamat untuk pulang serta kestabilan wilayah itu.
Lebih 40,000 mangsa, termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi, terbunuh dalam kempen keganasan PKK selama 30 tahun ke atas wilayah Turki. YPG pula adalah cabang militan PKK di Syria. — Terjemahan AlHijrah Online