PEMAKAIAN PELITUP MUKA MUNGKIN DIWAJIBKAN- PM

KUALA LUMPUR: Orang ramai mungkin akan diwajibkan untuk memakai pelitup muka bagi mengekang penularan COVID-19 yang kini kembali menunjukkan trend peningkatan kes positif.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perincian berkenaan arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka akan diumumkan kerajaan.

“Kerajaan juga sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam.

“Perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan,” katanya dalam perutusan khas perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Muhyiddin turut menzahirkan kerisauannya terhadap kewujudan 13 kluster baru dan jumlah kes harian yang kembali kepada dua angka.

“Situasi ini tidak boleh diambil mudah oleh kita semua. Saya pasti saudara saudari tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan lock down sekiranya kes-kes COVID-19 meningkat dengan mendadak.

“Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Ekonomi negara kita terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai yang hilang pekerjaan,” katanya

Ujarnya penutupan sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 bilion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.

Oleh itu katanya amalan kebiasaan baharu perlu diteruskan semua pihak kerana Malaysia masih belum menang melawan COVID-19.

“Jangan kerana kes-kes COVID-19 semakin berkurangan, kita tidak lagi memakai pelitup muka di tempat awam. Pakai lah. Jangan tak pakai.

“Penjarakan sosial juga mesti diteruskan. Pastikan jarak anda sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain. Elak tempat yang sesak dan sempit. Sentiasa beringat untuk elakkan sentuhan badan,” katanya.

Ujarnya kerajaan juga akan mengukuhkan kawalan di pintu sempadan negara dan menyaring mereka yang pulang dari luar negara.

Muhyiddin berkata penguatkuasaan undang-undang juga akan ditingkatkan bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas mereka yang pulang dari luar negara dan tidak melakukan kuarantin 14 hari. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply