PEMANDU TRELER MAUT DIHEMPAP MUATAN TIANG KONKRIT DIBAWA

TAIPING: Seorang pemandu treler maut dihempap muatan tiang konkrit dibawa selepas kenderaan dipandunya itu terbabas di Kilometer 220 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara pagi tadi.

Mangsa, Nor Azlan Ramli, 33 tahun disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, maklumat mengenai kejadian itu diterima pada pukul 4.50 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati treler terbabit yang dari Ipoh menghala ke Pulau Pinang telah hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan.

“Pemandu lori terbabit telah tersepit dan dihempap muatan batu konkrit yang dibawanya akibat kemalangan terbabit.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal di lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Pihak bomba bertindak mengangkat serta mengalihkan tiang konkrit menggunakan jentera kren dan mengambil masa kira-kira lapan minit bagi mengeluarkan mayat mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply