PEMILIK PUSAT HIBURAN DICEKUP POLIS AKIBAT BERI RASUAH

JOHOR BAHRU: Seorang pemilik premis pusat hiburan dicekup polis kerana merasuah RM45 ribu bagi mengelak dirinya dan 66 individu yang ditahan daripada diambil tindakan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, individu tersebut telah diberikan amaran sebanyak tiga kali tetapi suspek masih melakukan perkara yang sama.

Menurutnya, ini merupakan serbuan kali kedua di premis tersebut.

Hasil siasatan mendapati suspek berusia 47 tahun disyaki turut menjadi orang tengah dengan menggunakan nama ‘Ayob Khan’ untuk menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Kita mengesyaki suspek menjadi orang perantaraan kepada pemilik premis hiburan sekitar Johor, dengan menggunakan nama ketua polis Johor untuk mendapatkan imbuhan kewangan.

“Walaupun hasil semakan premis tersebut mempunyai lesen, tetapi tindakan tersebut melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Terdahulu, Pasukan Polis dari Task Force Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, membuat serbuan di pusat hiburan di Ulu Tiram, pada Selasa lalu.

Kesemua individu yang berada di dalam premis tersebut ditangkap dab dikenakan kompaun RM1,000 kerana tidak menjaga penjarakan fizikal.

Manakala hasil saringan air kencing yang dilakukan ke atas 12 orang lelaki warga tempatan dan tiga perempuan tempatan berusia 20 hingga 54 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ketamine. -AlHijrah Online

Leave a Reply