PENGEBOM BUNUH DIRI MAUT SERANGAN DI IBU PEJABAT POLIS MEDAN

MEDAN (Indonesia): Seorang mahasiswa berusia 24 tahun meletupkan dirinya di luar perkarangan ibu pejabat polis Medan hari ini, mencederakan enam mangsa, kira-kira sebulan selepas seorang militan menyerang bekas menteri keselamatan.

Jurucakap polis, Dedi Prasetyo berkata pelajar terbabit adalah pengembom bunuh diri bersendirian, ketika pihak berkuasa masih menyiasat sekiranya beliau terbabit dengan mana-mana kumpulan.

Indonesia, negara majoriti muslim, mengalami kebangkitan kumpulan militan kebelakangan tahun ini yang menjadikan polis sebagai sasaran.

Prasetyo berkata empat pegawai polis dan dua orang awam, dengan seorang darinya bekas polis, cedera dalam letupan di perkarangan ibu pejabat polis Medan sebelum jam 9 pagi waktu tempatan.

“Bahan yang ditemui di lokasi akan melalui ujian forensik bagi menentukan jenis bom digunakan,” kata Prasetyo dipetik Reuters dalam satu sidang media sambil menjelaskan paku, kabel dan cebisan badan pengembom antara bahan ditemui di lokasi kejadian.

Unit anti-pengganas Indonesia, Densus 88, sedang menyiasat sama ada pengebom terbabit mempunyai kaitan dengan kumpulan radikal seperti Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang bertanggungjawab ke atas beberápa serangan di Indonesia sebelum ini.

Siaran berita television memaparkan asap dan kesan letupan di kawasan parkir dan orang ramai lari keluar dari bangunan sekitar ibu pejabat polis itu.

“Dalang dan kumpulan pengganas akan dihalau, ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” kata Fadjroel Rahman, jurucakap kepada Presiden Joko Widodo dalam kenyataannya dipetik media tempatan.

Operator lapangan terbang Indonesia Angkasa Pura II dilaporkan mengetatkan lagi tahap keselamatan 19 lapangan terbang susulan pengeboman itu.

Suspek yang memakai jaket pemandu teksi motosikal dan beg sandang, dipercayai mengikat bom pada badannya, kata Prasetyo.

Terlebih dahulu, jurucakap polis provinsi berkata bag suspek telah diperiksa sebelum memasuki kawasan parkir kereta di mana orang ramai beratur bagi proses pengenalan diri oleh pihak polis.

Insiden serangan itu berlaku sebulan selepas seorang suspek militan menikam dan mencederakan bekas menteri keselamatan, Wiranto yang ketika itu merasmikan sebuah universiti.

Kerajaan Indonesia mengetatkan undang-undang anti-pengganas selepas siri pengeboman bunuh diri dikaitkan dengan kumpulan JAD yang membunuh 30 orang dalam insiden keganasan di Surabaya tahun lalu.

Beratus-ratus suspek ditahan polis Indonesia sejak awal tahun ini bagi mencegah ancaman militan ekoran kepulangan warga republik itu dari timur tengah yang sebelum ini menyertai militan Daesh. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply