GURU DISIPLIN PERLU KAWAL EMOSI

KAJANG: Guru-guru disiplin perlu memantapkan diri dengan kemahiran asas psikologi agar dapat mengawal emosi dalam mengendalikan pelajar.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd Jamil Mohamed berkata ia bagi memastikan tiada tindakan yang mampu mencederakan fizikal dan emosi murid, selain dibimbangi berlakunya perkara yang melanggar undang-undang.

“Guru-guru perlu ingat menjaga disiplin murid perlu ikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kita tetapkan.

“Keselamatan dan kesihatan fizikal serta emosi murid-murid perlu terjamin kerana kegagalan guru mengawal emosi akan memberi kesan penerimaan negatif kepada murid selain dibimbangi akan mengundang kepada pelanggaran undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Simposium Kaunseling Dan Pembangunan Sahsiah Murid Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata guru perlu bijak dan mengamalkan sifat prihatin, penyayang, simpati dan empati dalam membantu pembangunan sahsiah pelajar.

Mohd Jamil berkata penggunaan media sosial keterlaluan mempengaruhi akhlak remaja dan atas sebab itu tenaga pengajar, terutama guru kaunseling, perlu lebih terkedepan mendalami teknologi berkenaan supaya dapat mencari kaedah bersesuaian dalam membantu pelajar menyelesaikan masalah.

“Kalau kita lihat cabaran pada remaja hari ini berbeza daripada kita pada masa dahulu. Sekarang dengan ledakkan teknologi media sosial seperti facebook, instagram, twitter dan sebagainya, murid-murid terdedah dengan pelbagai cabaran di luar sana.

Beliau berkata guru disiplin serta guru bimbingan dan kaunseling perlu mencari kaedah yang sesuai dengan keadaan semasa bagi menangani dan mengesan lebih awal masalah gejala sosial dalam kalangan pelajar. — AlHijrah Online/ Zaim Zamani

Leave a Reply