PENGHANTAR MAKANAN OKU MENINGGAL DUNIA AKIBAT KEMALANGAN

KUALA NERUS: Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) kategori pekak dan bisu yang bekerja sebagai penghantar makanan, maut dalam kemalangan di Jalan Tengku Mizan berhampiran Kampung Tebauk, di sini hari ini.

Mangsa, Nik Muhammad Haikal Nik Zulkifli berusia 18 tahun yang berasal dari Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah hari tadi.

Sewaktu kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke arah pusat bandar raya selepas menghantar pesanan.

Sebaik tiba di lokasi kejadian yang merupakan laluan berselekoh, motosikal yang dinaiki mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar sebatang pokok di tengah pembahagi jalan.

Nik Muhammad Haikal kemudian tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an yang gagal mengelak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.–AlHijrah Online

Leave a Reply