PENGURANGAN TOL: MENGIMBANGI KESEJAHTERAAN & PERBELANJAAN RAKYAT

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melakukan apa yang terbaik bagi mengimbangi kesejahteraan dan meningkatkan kebajikan rakyat, walaupun ia sendiri dalam kekangan kewangan, apabila mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi Lebuhraya PLUS Malaysia Bhd.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd  Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ini ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup yang terus memberikan implikasi negatif kepada pendapatan sebenar di kalangan isi rumah Malaysia.

“Seterusnya, pengurangan 18 peratus dalam kadar tol adalah langkah terbaik walaupun perbelanjaan tol di kalangan rakyat Malaysia, secara umum, adalah rendah berbanding dengan makanan dan minuman,” katanya kepada Bernama hari ini

Bagaimanapun, pengurangan tol bermakna kos pengangkutan yang lebih rendah untuk perniagaan.

“Oleh itu, adalah penting untuk memastikan manfaat kos pengangkutan yang lebih rendah yang dinikmati oleh perniagaan, akhirnya akan sampai ke tangan pengguna,” katanya.

Kerajaan perlu membuat penguatkuasaan ketat memandangkan perniagaan diketahui agak sukar untuk berkongsi pengurangan kos mereka dengan pengguna.

“Walaupun kita tidak boleh menjangkakan kuantum yang sama dalam pengurangan, sekurang-kurangnya perniagaan harus mampu untuk menampung pengangkutan mereka dan tidak akan mempunyai sebab bagi meningkatkan harga lagi. Kita hanya mahu kestabilan dalam harga,” kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak, Prof Datuk  Dr Shazali Abu Mansor mencadangkan bahawa model perniagaan tol ini tidak seharusnya dibuat berasaskan keuntungan, sebaliknya ia perlu ditukar yang mana, sesiapa menggunakan lebuh raya, manfaat akan kembali kepada rakyat.

“Sekurang-kurangnya ia dibuat bagi meliputi kos (lebuh raya)… daripada berpegang kepada model lama yang menekankan keuntungan, sama seperti caj air dan elektrik,” katanya.

“Melainkan kita menukar model kepada konsep bukan keuntungan dan ia turut diguna pakai ke atas kesemua utiliti awam… Saya berfikir ia adalah konsep yang sangat baik, model operasi bukan berasaskan keuntungan tetapi berdasarkan kepada meliputi kos penyelenggaraan,” katanya.

Shazali berkata secara psikologi, pengurangan 18 peratus dalam kadar tol tidak akan memberikan banyak faedah kerana orang ramai memilih pengurangan yang lebih drastik.

“Tidak mengapa jika ada keuntungan yang sedikit kerana wang itu boleh digunakan untuk perkara lain. Jika kerajaan mampu mengurangkan lagi, orang ramai akan mempunyai lebih banyak pendapatan yang boleh dibelanjakan untuk perkara lain, kerana kita mahu faktor lain dalam ekonomi turut bergerak.

“Lebih banyak wang yang dipegang oleh rakyat, adalah lebih baik,” katanya.

Menurut Shazali lagi, keuntungan ke atas barangan tertentu, sebagai contoh, telekomunikasi, yang mana syarikat telekomunikasi mengaut keuntungan berbilion ringgit, perlu dilihat semula, semua ini adalah barang keperluan seperti air, elektrik, telekomunikasi dan jalan raya.

Keputusan kerajaan untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus akan menyaksikan, contohnya, kadar tol di Lebuhraya Utara-Selatan dikurangkan daripada 13.6 sen setiap kilometer (km) kepada 11.15 sen setiap km, yang lebih rendah daripada kadar tol pada 1999 iaitu sebanyak 11.24 sen setiap km.

Dengan kadar tol baharu ini, perjalanan dari Jalan Duta (Kuala Lumpur) ke Alor Setar (Kedah) akan menelan kos sebanyak RM 45.50 berbanding dengan caj sebelumnya iaitu sebanyak RM55.50, manakala dari Jalan Duta ke Skudai di Johor akan menelan belanja RM38.50 berbanding dengan RM47 sebelum ini.

Keputusan mengenai kadar tol tersebut dibuat di Mesyuarat Kabinet pada 15 Jan dan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata bahawa langkah itu juga selaras dengan pengumuman yang dibuat semasa pembentangan Bajet 2020.

Lebih penting lagi, pengguna lebih raya PLUS boleh yakin bahawa tidak akan ada peningkatan kadar tol bagi 38 tahun berikutnya sehingga konsesi berakhir pada 2058.

Ini disebabkan tempoh konsesi bagi semua lebuh raya PLUS telah dilanjutkan selama 20 tahun dari 2038 ke 2058 bagi memastikan PLUS akan dapat menjalankan aktiviti penyelenggaraan dan operasi lebuh raya tanpa bergantung kepada kerajaan. — BERNAMA

One comment

Leave a Reply