PENIAGA TERSEPIT AKIBAT KENAIKAN HARGA BARANG

KUANTAN: Peniaga mendakwa tersepit dengan kenaikan kos bahan mentah susulan kenaikan harga bahan tersebut sejak kira-kira lapan bulan lalu.

Antara barangan keperluan paling ketara menunjukkan peningkatan adalah beras dan gula.

Seorang peniaga Noorazliha Saidi, 34, berkata harga beras tempatan mengalami kenaikan antara RM6.00 hingga RM9.00 sejak tiga bulan kebelakangan ini untuk pek lima kilogram.

Kenaikan tersebut kata peniaga di Kuantan, Pahang itu memang memberi kesan terutama kepada pengusaha kedai makan.

“Kenaikan ini sangat memberi kesan dari segi beras, bahan mentah dan bawang kerana bahan mentah yang perlu digunakan.

“Walaupun berlaku kenaikan, kita terpaksa beli juga disebabkan itu antara bahan utama yang digunakan,” katanya pada AlHijrah Online.

Seorang lagi peniaga Noorazlinda Abdul Razak, 45, pula memaklumkan, ketika ini beliau masih mampu bertahan untuk mengekalkan harga yang ditawarkan di kedainya.

Namun, katanya jika harga barangan keperluan seperti beras dan bahan mentah terus meningkat, beliau mungkin terpaksa menaikkan harga makanan.

“Buat masa sekarang saya boleh menampung lagi, namun jika pada masa akan datang peningkatan harga barang terus berlaku saya terpaksa ambil alternatif lain seperti menaikkan harga jualan,” katanya.

Mereka juga akui tersepit dengan situasi itu dan bimbang sekiranya menaikkan harga boleh mengakibatkan kehilangan pelanggan terumatanya pelanggan tetap.

Para peniaga berharap agar kerajaan dapat membantu menstabilkan bekalan dan harga bagi mengelakkan peniaga dan pelanggan terus terkesan. – AlHijrah Online

Leave a Reply