KUALA LUMPUR: Ibu bapa, pihak pentadbir sekolah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memainkan peranan bersama dalam memastikan keselamatan makanan yang dibeli murid-murid di luar premis sekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, penjualan makanan kepada murid-murid dalam radius 40 meter dari pagar sekolah, perlu dipantau oleh pihak pentadbir sekolah termasuk PBT.
Katanya, setiap makanan yang dijual di dalam premis sekolah adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM) khususnya soal keselamatan makanan murid-murid.
“Ibu bapa juga perlu mengingatkan anak masing-masing untuk sentiasa berhati-hati dalam membeli makanan di luar premis sekolah.
“Ada garis panduan yang terkait rapat dengan pembelian makanan di luar pagar sekolah yang mesti dipatuhi serta dipantau oleh PBT,” katanya selepas program Analisis di TV AlHijrah, malam tadi.
Fadhlina berkata demikian bagi mengulas kejadian kematian seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Butterworth akibat tercekik gula-gula jenis gummy yang dibeli di luar kawasan sekolah.
Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan mengingatkan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk bekerjasama dengan PBT dalam memantau dan mengawal selia peraturan jualan makanan serta minuman di luar sekolah.
Katanya peraturan itu termaktub dalam Garis Panduan Penguatkuasaan Larangan Penjualan Makanan dan Minuman di Luar Pagar Sekolah Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (Edisi Kedua 2021).
Pihak JPN dan pihak sekolah turut diingatkan untuk menghubungi PBT jika berlaku penjualan makan dalam radius 40 meter dari pagar sekolah.—AlHijrah Online