Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PENSIJILAN HALAL MALAYSIA AMAT DIYAKINI DALAM KALANGAN NEGARA ISLAM — DUTA BRAZIL

DALAM NEGARA

PENSIJILAN HALAL MALAYSIA AMAT DIYAKINI DALAM KALANGAN NEGARA ISLAM — DUTA BRAZIL

Pensijilan halal Malaysia amat dihargai dalam kalangan pengeksport Brazil kerana ia membolehkan mereka mengeksport produk halal mereka ke beberapa negara Islam dengan lebih mudah.

KUALA LUMPUR: Pensijilan halal Malaysia amat dihargai dalam kalangan pengeksport Brazil kerana ia membolehkan mereka mengeksport produk halal mereka ke beberapa negara Islam dengan lebih mudah.

Duta Besar Brazil ke Malaysia Ary Norton De Murat Quintella berkata syarat-syarat pensijilan Halal Malaysia adalah lebih ketat berbanding kebanyakan negara Islam lain.

“Syarat-syarat (pensijilan Halal) Malaysia lebih ketat daripada negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu).

“Apabila anda boleh mengeksport (produk halal) ke Malaysia, ia bermakna kelulusan kualiti yang anda terima untuk dieksport ke semua negara Islam yang lain. Pengeksport Brazil sangat menghargai itu dan mereka semua mahu mengeksport ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program The Nation bertajuk “Malaysia-Brazil Relations and the Role of BRICS in the Global South” terbitan Bernama TV pada Rabu.

Menurut Quintella, Brazil mempunyai komuniti Islam yang ramai iaitu kira-kira 1.5 juta dan industri halal negara itu sangat kukuh dan seiring dengan Malaysia.

“Brazil menumpukan eksport halalnya kepada protein haiwan. Kali pertama saya menghadiri pembukaan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada 2022, saya mendapati bahawa sektor halal Malaysia bukan hanya terhad kepada protein haiwan sahaja.

“Pada pembukaan MIHAS (2024), jelas dilihat bahawa syarat-syarat Malaysia (untuk pensijilan halal) dianggap penting oleh negara Islam lain,” katanya.

Beliau berkata industri halal Brazil mematuhi semua peraturan setiap negara Islam yang dieksportnya.

“Kami mengikut peraturan Malaysia apabila kami mengeksport (ke Malaysia). Di wilayah Teluk, kami mematuhi peraturan mereka. Setiap pasaran mempunyai peraturan tersendiri,” katanya.

Pada Selasa, Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata Malaysia dan Brazil akan meningkatkan kerjasama untuk memanfaatkan pasaran halal global yang dijangka menjana US$3 trilion tahun depan.

Kurup berkata perdagangan pertanian antara kedua-dua negara berada dalam aliran meningkat, mencecah RM6.4 bilion pada 2023.

“Brazil sudahpun menjadi pengeksport utama produk daging halal ke negara majoriti Islam, dan Malaysia diiktiraf di peringkat global kerana sistem pensijilan halalnya yang mantap yang diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Dengan menyelaraskan kekuatan masing-masing, kita boleh mengembangkan penyelidikan dan capaian kita dalam pasaran halal global,” katanya

Sementara itu, mengenai pelaburan dua hala Brazil-Malaysia, Quintella berkata perbincangan sedang dijalankan memandangkan ia menawarkan banyak peluang pelaburan bersama.

“Syarikat Malaysia dalam sektor minyak dan gas serta tenaga boleh baharu sudahpun menjadi pelabur utama di Brazil, bukan sahaja Petronas, tetapi juga Sapura dan Yinson Holdings Bhd.

“Mereka adalah pelabur yang sangat penting dalam sektor tenaga Brazil. Atas sebab itu, Malaysia kini merupakan salah satu pembekal tenaga utama di Brazil. Pada masa sama, pelaburan Amerika Latin terbesar di Malaysia adalah daripada firma Brazil,” katanya.

Brazil ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di Amerika Latin. Pada 2023, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Brazil bernilai RM17.46 bilion, meningkat 4.0 peratus daripada RM16.86 bilion yang dicatatkan pada 2022. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading